"Tidak Lepas Lagi!". Ini 15 Sebab Calon Gagal Temuduga!

Temuduga adalah perkara yang mendebarkan untuk setiap calon terutama sekali ketika menerima keputusan temuduga. Ada calon yang berkali - kali gagal walau tanpa mengetahui sebab yang mungkin menjadi punca kegagalan tesebut. Korang rasa apa sebab tersebut?

15 Sebab Calon Gagal Temuduga

1. Penampilan Kurang Profesional

Penampilan sering disebut sebagai "first impression" atau cinta pandang pertama. Hah bukan cinta yang itu. Ia bermaksud pandangan seorang panel kepada calon yang ingin ditemuduga.

Imej profesional calon amatlah penting. Bukan bermakna calon perlu mengenakan pakaian mewah, cukup sekadar formal dan kemas untuk lihatkan kita calon yang ideal dengan imej profesional. Sederhana tapi menarik perhatian.


Imej Profesional akan menarik minat panel penemuduga

2. Lewat datang dan Kurang Bersedia

Lewat atau lambat datang ke tempat temuduga adalah perkara yang perlu dielak. Ia seolah mencerminkan calon tidak bersedia untuk ditemuduga.

Sebaiknya rancang dan kenalpasti lebih awal tempat/lokasi temuduga, kenderaan yang akan digunakan ke sana, pukul berapa akan bertolak supaya tiba lebih awal dari jam temuduga. Ini membantu calon untuk datang lebih awal dan bersedia.

Memberikan alasan kesesakan lalu-lintas atau lain-lain alasan sebenarnya sukar diterima oleh panel.

3. Maklumat Tidak Benar Pada Resume

Pada sesi temuduga, panel akan merujuk resume calon dan menanyakan soalan. Jika calon ada meletakkan maklumat tidak benar dan kemudian panel menyoal tentang itu, calon dengan mudah akan kantoi!

Perkara ini selalu terjadi apabila calon ingin melepasi tapisan awal agar dipanggil temuduga tetapi menjelang temuduga terciduk!

4. Tidak Menyediakan Maklumat Penting

'Alert' atau teliti semua maklumat yang diperlukan untuk dibawa ke temuduga. Buat checklist atau senarai dan periksa berulang kali untuk pastikan semua maklumat dibawa bersama. Seperti pepatah sediakan payung sebelum hujan, maka calon perlu sediakan semua maklumat penting sebelum temuduga

Tidak menyediakan maklumat atau dokumen penting boleh membawa malapetaka kepada calon.


5. Tidak Mengkaji Syarikat/Jawatan

Kajian mengenai syarikat atau jawatan yang dimohon adalah amat penting dan kritikal, maka calon perlu meluangkan sedikit masa untuk mengkaji sebelum tiba hari temuduga. 

Panel selalunya akan bertanya, "Apa pandangan anda syarikat ini", "Cuba terangkan tentang jawatan yang anda mohon". Soalan-soalan asas ini boleh dikendalikan dengan mengkaji dan membaca.

6. Bahasa Badan (Body Language)

Bahasa badan juga adalah salah satu bentuk komunikasi. Jaga postur dan cara duduk anda sepanjang temuduga. Elakkan pergerakan berlebihan, goyangkan kaki, menyandar atau terlalu santai seperti menonton di panggung wayang. 

Tunjukkan minat dan semangat calon kepada panel temuduga. Semua ini juga boleh dibaca dari bahasa tubuh oleh pihak panel.

Bahasa Tubuh Yang Perlu Diketahui

7. Terlebih Ramah Kepada Panel

Memang ada orang yang jenis peramah malah terlebih. Cuma di dalam sesi temuduga, terlebih ramah boleh menjadi satu masalah. Panel penemuduga akan rasa meluat dan calon kurang disenangi oleh panel. 

Cuba lebih tenang dan kawal perasaan ingin berkata-kata, bercakap hanya apabila perlu dan ditanya. 



8. Terlalu Pemalu dan Kurang Interaksi

Jika point sebelumnya terlalu ramah masalah, kali ini terlalu pemalu juga satu masalah. Sifat malu tidaklah salah tetapi kenalah bertempat. Ketika temuduga dijalankan, berusahalah berinteraksi dengan panel temuduga dan jangan terlalu kekok. 

Komunikasi amat penting dan ini juga akan dinilai oleh panel.


9. Kurang Yakin (terlalu banyak kata "mungkin")

Calon perlu elak untuk mengeluarkan perkataan atau ayat yang menunjukkan calon tidak yakin dengan diri sendiri atau topik yang dikatakan. Contohnya,

"Jika saya, mungkinlah saya akan buat begini"

Jawapan dengan gaya dan nada seperti ini jelas kelihatan calon tidak yakin dengan pandangan dan kata-katanya. Panel akan menyimpulkan anda kurang yakin ketika berkomunikasi.

10. Meninggikan Diri Untuk Kelihatan Yakin

Ramai calon fikir untuk kelihatan yakin adalah sedikit meninggikan diri dengan menyebut pencapaian yang dicapai sebelum ini dengan niat panel akan kagum apabila dengar. Langkah ini boleh jadi tidak efektif kerana calon akan kelihatan bercakap besar.

Sebaiknya calon hanya perlu menyatakan kelebihan yang dimiliki dengan nada yang sederhana. Kemudian huraikan bagaimana kelebihan itu akan membantu perkembangan syarikat. Ini akan lebih disukai panel kerana anda mempunyai sifat rendah diri tapi penuh misteri.




11. Tidak Mampu Membuat Keputusan

Soalan panel penemuduga akan pelbagai. Panel juga selalunya akan memberikan anda satu situasi dan meminta calon melakukan keputusan berdasarkan situasi tersebut. Panel mahu menguji kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran membuat keputusan calon. 

Calon perlu mendalami ilmu berkaitan tentang perkara ini sebelum temuduga. 


12. Merayu dan Berlakon Sedih

Mungkin ada calon yang cuba teknik ini. Harus diingat temuduga bukan ujibakat lakonan. Melakukan gaya merayu atau sedih untuk menimbullkan rasa kasihan panel kepada calon, hanya menunjukkan anda sangat terdesak dan tidak profesional. 

Tindakan ini menjadikan peluang semakin kabur untuk berjaya. Tanpa perlu merayu dan berlakon sedih pun anda boleh berjaya jika itu rezeki anda.


13. Menggunakan Bahasa Pasar

Bahasa pasar adalah bahasa yang tidak formal. Ia diguna untuk perbualan seharian seperti di rumah, di pasar malam atau ketika makan. Untuk sesi temuduga pula, elakkan bahasa pasar dan gunakan sepenuhnya bahasa formal.

Sikap mengambil mudah dalam soal bahasa akan memberi kesan kurang baik kerana calon akan kelihatan tidak serius dan cuba bermain-main.

14. Minta Macam-Macam atau 'demand'

'Demand' bermaksud calon meminta sesuatu kepada syarikat secara berlebihan seperti rumah, kenderaan dan lain-lain. Langkah ini tidak selalunya tepat, ia perlu bergantung kepada jawatan dan kemahiran yang calon ada.

Sekiranya calon menjadi rebutan kerana ada kemahiran tinggi, mungkin syarikat boleh mempertimbangkan. Ia dianggap sebagai pelaburan untuk syarikat yang kelak calon akan membawa keuntungan lebih untuk syarikat. 


15. Terlalu 'berpolitik'

Adakalanya panel penemuduga mahu menguji kefahaman politik calon. Ia sebahagian daripada isu semasa dan pengetahuan am yang sebenarnya perlu diambil tahu dan peduli.

Jika ditanya, calon perlu berhati -hati memberikan pandangan dan bijaklah memberikan jawapan yang bernas dan rasional.

Elakkan berlebihan, mengikut emosi atau berat sebelah. Jawab secara 'general' kerana panel hanya ingin menguji calon.

Semoga perkongsian ini bermanfaat!

SALAMKERJAYA.COM




Post a Comment

0 Comments