RASMI : Tarikh Bayaran BKM Fasa 1 Bermula 28 Mac 2022




BKM Fasa 1: Tarikh Bayaran Bermula 28 Mac 2022. Bayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada kira kira 8.6 juta penerima akan dikreditkan secara berperingkat bermula 28 Mac 2022 (Isnin).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob berkata, penerima bakal mendapat bayaran bermula RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima.

Menurut Perdana Menteri, bayaran itu merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta golongan warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta bagi individu bujang.

“Setiap penerima yang layak bakal menerima bayaran secara berperingkat bermula 28 Mac 2022 (Isnin) melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2.0 bilion.

“Pembayaran ini juga bertujuan bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam persediaan menyambut bulan Ramadan 1443H,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

KATEGORI BKM FASA 1 & JUMLAH BAYARAN

Kadar bayaran BKM Fasa 1 kepada isi rumah dan bujang adalah seperti berikut:

Kategori Isi Rumah

Pendapatan RM2,500 dan ke bawah:
  • Tiada anak: RM1,000
  • 1 – 2 anak: RM1,500
  • Anak melebihi 3: RM2,000

Pendapatan RM2,501 – RM5,000:
  • Tiada anak: RM400
  • 1 – 2 anak: RM600
  • Anak melebihi 3: RM800

Kategori Warga Emas Bujang/ Tiada Pasangan

Pendapatan RM5,000 dan ke bawah:
  • Tiada anak: RM600

Kategori Bujang

Pendapatan RM2,500 dan ke bawah:
  • Tiada anak: RM350


BAYARAN AKAN DIKREDITKAN SECARA TERUS KE AKAUN BANK PENERIMA

Menurutnya, golongan isi rumah, warga emas serta individu bujang bakal menerima bayaran BKM pada 28 Mac 2022 (Isnin) hingga 8 April 2022 (Jumaat) yang mana akan terus dikreditkan ke akaun bank penerima.

Bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank (termasuk penerima di Sabah & Sarawak), bayaran akan mula diberikan pada 30 Mac 2022 melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Menurut Ismail Sabri, BSN juga akan mengeluarkan garis panduan lengkap berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

“Dalam usaha memastikan bantuan BKM Fasa 1 disasarkan untuk mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan pula akan dibuka mulai 2 Mei 2022 (Isnin) untuk tempoh sebulan.

“Proses tersebut adalah penting dalam usaha mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang dan peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk tujuan disemak semula oleh pihak LHDNM.

KERAJAAN AKAN TERUS PEKA KEPERLUAN SEMASA RAKYAT

“Kerajaan terus peka akan keperluan semasa serta terus komited dalam memastikan kesejahteraan Rakyat Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” ujarnya.

Berdasarkan rekod, BKM merupakan sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang telah diumumkan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

Sumber: Astro Awani

Post a Comment

0 Comments