Bantuan Perumahan RM20,000 Untuk B40


Kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah memperkenalkan sebuah skim yang dikenali sebagai Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa. 

Malah, melalui pembentangan Bajet 2022 juga pihak kerajaan akan meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah, termasuklah pembinaan RMR dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat. Berikut adalah penjelasan lanjut berkenaan RMR.

SYARAT KELAYAKAN

Berikut adalah merupakan syarat kelayakan yang perlu anda ketahui sebelum melakukan permohonan:

  • Warganegara Malaysia
  • Pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas
  • Pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM3,000
  • Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri / atau memiliki rumah usang / tidak sempurna
  • Tanah / tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian / bebanan / sekatan ke atasnya. Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan
  • Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,600 kps (tertakluk kepada rekabentuk)
  • Tertakluk kepada peruntukan kewangan

Dimaklumkan juga bahawa bagi pemohon dari Semenanjung Malaysia yang berumur lebih 42 tahun, pemohon kedua yang berumur di antara 18-42 tahun diperlukan. Manakala, untuk pemohon dari Sabah, Sarawak dan kawasan pulau yang lebih 38 tahun, pemohon kedua yang berumur di antara 18 -38 tahun diperlukan. 

KAEDAH PELAKSANAAN RMR

Setiap rumah RMR akan dibina satu tingkat dengan dilengkapi 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Keluasan rumah pula adalah sama ada 1,000 kps, 850 kps atau 750 kps mengikut keluasan tanah tempat rumah dibina. 

Harga setiap rumah pula bermula dari RM75,000 sehingga RM85,000 dan hadir dengan subsidi pembinaan oleh kerajaan sebanyak RM20,000 sebuah. 


CARA MEMOHON RMR

Bagi mereka yang berminat dan menepati syarat-syarat kelayakan RMR, permohonan hendaklah dibuat secara atas talian (online) di sistem RMR Online SPNB - klik DI SINI


Berikut adalah merupakan tatacaranya: 

  1. Klik Pendaftaran Baru: Isi borang pendaftaran login dengan lengkap
  2. Penerimaan Login ID & Kata Laluan: Kata laluan akan dihantar kepada pemohon
  3. Log Masuk ke Laman Utama: Gunakan login ID (e-mel) dan kata laluan yang diberikan untuk memulakan permohonan RMR
  4. Melengkapkan Borang Online: Isi maklumat ke dalam sistem
  5. Selesai Mengisi Borang Online: Klik selesai pendaftaran borang dan cetak borang
  6. Majukan Borang & Dokumen Kepada SPNB: Memajukan borang beserta dokumen ke Pejabat Cawangan SPNB yang berdekatan.
  7. Semakan & Penilaian Oleh Pihak SPNB: Maklum balas dalam tempoh 3 bulan dan kelulusan adalah tertakluk kepada peruntukan tahunan. 

Selain itu, permohonan juga boleh dibuat dengan mendapatkan Borang Permohonan RMR di cawangan SPNB dan dimajukan kepada SPNB selepas permohona dilengkapkan. 

Ini adalah dokumen-dokumen yang diperlukan bagi memohon RMR: 
  • Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkenaan).
  • Salinan kad pengenalan tuan tanah.
  • Salinan kad pengenalan pemohon kedua (jika berkaitan).
  • Salinan geran hak milik tanah terbaru dan sijil carian rasmi dari Pejabat Tanah yang terbaru.
  • Slip gaji terkini (3 bulan) / surat akuan sumpah pendapatan / surat pengesahan pendapatan pemohon / pemohon kedua.
  • Surat akuan sumpah / surat pengesahan tidak memiliki rumah atau memiliki rumah yang usang
  • Surat akuan kebenaran pelepasan tuan tanah
  • Salinan sijil nikah pemohon
  • Borang laporan tapak bergambar

Jika permohonan diluluskan, pemohon juga perlu melaksanakan tanggungjawab ini:
  • Perlu mengisi dan melengkapkan borang permohonan.
  • Perlu menyediakan tapak cadangan termasuk jalan masuk untuk pembinaan.
  • Perlu menyediakan sumber bekalan air dan elektrik
  • perlu membuat penyambungan bekalan utiliti setelah rumah disiapkan. 
  • Perlu membuka akaun bank bagi pembayaran balik bulanan. 

Untuk maklumat lanjut dan lengkap berkenaan RMR, sila rujuk DI SINI

Post a Comment

0 Comments