Bajet Sarawak 2022: Penjawat Awam Bakal Terima Sebulan Setengah Gaji


KUCHING: Berita baik bagi seluruh penjawat awam negeri Sarawak kerana kerajaan negeri Sarawak baru sahaja memberikan bantuan khas kepada penjawat awam negeri dan kakitangan Persekutuan yang bertugas di negeri ini dalam Belanjawan Sarawak 2022.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata bantuan khas itu adalah sebagai tanda menghargai khidmat bakti penjawat awam dalam mengurus jentera kerajaan, khususnya dalam menangani situasi getir ketika pandemik COVID-19.


"Saya amat berbesar hati mengumumkan pemberian satu setengah bulan gaji bantuan khas kewangan untuk penjawat awam negeri ini.


"Tidak dilupakan penjawat awam Persekutuan yang bertugas di negeri Sarawak juga akan mendapat bantuan khas RM500 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan mereka dalam membantu kita," katanya. 


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan bila pembayaran bantuan khas itu akan dibuat.


Mengulas Belanjawan Negeri 2022, Abang Johari berkata, jumlah keseluruhan perbelanjaan adalah sebanyak RM10.136 bilion.


"Ini adalah belanjawan pengembangan, iaitu dalam tempoh yang tidak menentu ini kita memberikan tumpuan kepada rakyat, kehidupan dan kesejahteraan rakyat. 


"Justeru, dalam Belanjawan 2022 kita memberi peruntukan lebih untuk membantu rakyat dalam masa yag genting ini," katanya. 


Beliau berkata, mesyuarat itu adalah yang pertama seumpamanya diadakan bagi berkongsi Belanjawan Negeri 2022 dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan Perintah Darurat yang masih berkuat kuasa di negeri ini.


"Ketua Menteri mempunyai kuasa untuk meluluskan peruntukan daripada Dana Disatukan (Consolidated Fund) bagi perbelanjaan operasi kita untuk tempoh setahun.


"Walaupun saya atau pihak kuasa negeri mempunyai kuasa, untuk memastikan tadbir urus yang baik dan ketelusan kami memutuskan untuk berkongsi belanjawan ini bersama dengan semua ADUN," katanya.

Post a Comment

0 Comments