Pakej Rangsangan Ekonomi Baharu 2021 Akan Diumum Dalam Masa Terdekat - Tengku Zafrul - Salam Kerjaya!

Breaking

Thursday, March 11, 2021

Pakej Rangsangan Ekonomi Baharu 2021 Akan Diumum Dalam Masa Terdekat - Tengku Zafrul


 

Pihak kerajaan bakal mengumumkan bantuan baharu atau satu lagi pakej rangsangan ekonomi dalam masa terdekat untuk membantu individu dan syarikat yang masih terkesan dengan penularan wabak pandemik Covid-19.


Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merupakan Menteri Kewangan Malaysia berkata bahawa bantuan baharu tersebut akan memberikan tumpuan yang lebih kepada kumpulan paling terjejas seperti sektor perlancongan. 


"Kerajaan sudah mempunyai data dan sedang melihat siapa yang betul-betul terkesan membabitkan individu serta syarikat.


"Kita juga sedang melakukan perbincangan pada peringkat Kementerian Kewangan dengan kementerian lain mengenai bagaimana kita boleh menolong terutama sektor yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.


PENGUNGUMAN PAKEJ BANTUAN DALAM MASA TERDEKAT


"Pengunguman mengenai pakej bantuan dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media khas Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Kewangan di sini, baru-baru ini. 


Dalam tempoh setahun mentadbir, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19. Hal ini termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Prihatin PKS bernilai RM260 billion yang mula dilancarkan pada Mac dan April tahun lalu yang memanfaatkan lebih 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan. 


Di samping itu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun tahun lalu memanfaatkan lebih 12.5 juta individu dan 350,000 perniagaan, manakala pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas : Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion memanfaatkan lebih 10.1 juta individu dan 705,000 perniagaan. 


BANTUAN BAGI MEREKA YANG TERJEJAS MEMULAKAN PERNIAGAAN SEMULA


Mengulas lanjut berkaitan pakej bantuan baharu itu, Tengku Zafrul berkata bahawa pihak kerajaan mahu memastikan pihak yang terjejas ini berupaya memulakan perniagaan mereka semula. 


Menurutnya, biarpun ekonomi telah dibenarkan untuk beroperasi namun terdapat sebahagian industri masih tidak boleh memulakan kembali operasi mereka seperti sektor peruncitan dan perlancongan. 


"Kebanyakan penggiat dalam sektor perlancongan masih tidak dapat beroperasi disebabkan ketidaktentuan yang membabitkan larangan perjalanan antara negeri dan penutupan pintu sempadan yang juga merupakan daripada sebahagian langkah kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19. 


"Oleh itu, pihak kerajaan sedang meneliti apakah bantuan yang sesuai untuk diberikan kepada sektor ini. Kita juga menyedari sektor perlancongan memerlukan bantuan berbeza daripada sektor lain. 


PIHAK KERAJAAN BERTANGGUNGJAWAB DALAM MEMBANTU INDIVIDU DAN PKS


Beliau turut berkata bahawa pakej bantuan disalurkan tahun lalu adalah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab pihak kerajaan bagi membantu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS Mikro yang terjejas. 


"PKS menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dengan menyumbang hampir 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Ia juga menggajikan hampir 70 peratus pekerja dalam negara. 


"Sudah tentu defisit negara meningkat memandangkan pihak kerajaan terpaksa meminjam. Hal ini kerana kita memerlukan lebih banyak sumber untuk menyokong perbelanjaan kerajaan," katanya.


Sumber : Berita Harian


No comments:

Post a Comment