[RASMI] : KWSP Benarkan Pengeluaran Pendahuluan Akaun-1 Sebanyak RM4,000 - RM10,000 - Salam Kerjaya!

Breaking

Tuesday, November 17, 2020

[RASMI] : KWSP Benarkan Pengeluaran Pendahuluan Akaun-1 Sebanyak RM4,000 - RM10,000



KUALA LUMPUR : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan bahawa akses terhadap Akaun-1 untuk para pencarum ataupun ahlinya yang terjejas dengan pendahuluan maksimum pertama antara RM4,000 hingga RM10,000.


Pihak KWSP mengambil inisiatif ini bagi tujuan memperluaskan skop i-Sinar yang mana akan melibatkan ahli yang telah kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tidak mempunyai sumber pendapatan. KWSP dalam satu kenyataannya telah menjelaskan bahawa i-Sinar akan memberikan manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli terbabit.


Sila ikuti perkongsian di bawah ini untuk mengetahui maklumat lanjut pengeluaran pendahuluan sehingga RM10,000


PENGELUARAN AKAUN-1 KWSP (PENDAHULUAN)

Baki RM90,000 Dan Kebawah

Bagi ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan kebawah di Akaun-1 akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM90,000 ianya akan dikreditkan secara berkala sehingga tempoh enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.


Baki Lebih RM90,000

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam Akaun-1 akan mempunyai akses sebanyak 10%. Walaubagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga tempoh enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.


PERMOHONAN BERMULA DISEMBER 2020 

Untuk pengetahuan anda, pihak KWSP telah mengumumkan bahawa ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula pada Disember 2020 ini. Amaun akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dilakukan. Pengkreditan pertama akan dilakukan pada Januari 2021.


Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala selama tempoh enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan dilakukan.


Secara umumnya, ahli yang layak boleh mengakses sebanyak 10 peratus daripada amaun simpanan mereka di dalam Akaun-1, tertakluk kepada baki minimum RM100.


PENGELUARAN i-SINAR YANG DILAKUKAN PERLU DIGANTI

Bagi ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar mereka perlulah menggantikan semula amaun yang telah didahulukan ataupun dikeluarkan. Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun-1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.


Setelah itu, caruman akan kembali semula ke kadar pecahan asal iaitu sebanyak 70 peratus bagi Akaun-1 dan sebanyak 30 peratus bagi Akaun-2.


Seterusnya, KWSP menjelaskan lagi bagi menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan terlebih dahulu melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).


Maklumat lanjut serta segala butiran terperinci mengenai kelayakan memohon i-Sinar serta terma dan syarat bakal dimaklumkan dalam masa yang terdekat ini.


Sumber : Utusan Malaysia

1 comment: