TERKINI : Rayuan Gagal, Najib Ke Penjara




PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

"Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

"Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ," kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Sebelum itu, pihak Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu menerusi rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Keterangan baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya, adalah membabitkan dakwaan bahawa bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya, bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Panel lima hakim mahkamah persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan Najib selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit dan tidak memenuhi peruntukan undang-undang.


Post a Comment

0 Comments