[RASMI] : Cara Memohon Pengeluaran Simpanan KWSP Untuk Membeli Rumah PR1MA 2021 - Salam Kerjaya!

Breaking

Wednesday, February 3, 2021

[RASMI] : Cara Memohon Pengeluaran Simpanan KWSP Untuk Membeli Rumah PR1MA 2021



Pihak kerajaan telah memperkenalkan Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) sebagai rancangan perumahan yang menyasarkan isi rumah berpendapatan sederhana atau golongan M40. Untuk makluman, lokasi perumahan PR1MA ini dibangunkan di pusat-pusat bandar yang utama di seluruh negara dengan unit-unit yang ditawarkan pada harga yang berpatutan tanpa menjejaskan kualiti hartanah. 


Para pencarum ataupun ahli KWSP adalah dialu-alukan untuk menggunakan simpanan semasa dan juga simpanan kemudian hari bagi tujuan mendapatkan rumah PR1MA pertama yang anda idamkan. Permohonan membeli rumah PR1MA melalui simpanan KWSP boleh dilakukan sebelum mencapai umur sasaran. 


Sila ikuti segala perkongsian yang telah pasukan Salam Kerjaya sediakan di bawah ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara melakukan permohonan pengeluaran KWSP untuk membeli rumah PR1MA. 


KOS PERUMAHAN PR1MA

Untuk pengetahuan anda, semua rumah PR1MA berharga antara RM100,000 hingga RM400,000 sahaja. Jika hendak dibandingkan dengan kebanyakan rumah di luar sana, harga yang ditawarkan adalah lebih murah kerana program ini memang menyediakan rumah pada harga yang berpatutan dan bersesuaian dengan golongan M40. 


SYARAT KELAYAKAN


Hanya para pencarum dan ahli KWSP yang memenuhi syarat berikut sahaja yang layak untuk melakukan permohonan pengeluaran simpanan KWSP untuk membeli rumah PR1MA. 

  • Warganegara Malaysia 
  • Berumur di bawah 55 tahun
  • Pembeli rumah PR1MA
  • Mendapat pinjaman perumahan melalui Skim Pembiayaan Fleksibel PR1MA (SPEF)
  • Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan ATAU pernah membuat Pengeluaran Perumahan tetapi sudah menjual / melepaskan hak milik harta. 

PENGELUARAN KWSP UNTUK MEMBELI RUMAH PR1MA

Sebelum melakukan sebarang pengeluaran, sila pastikan bahawa anda telah membaca dan mengetahui segala info pengeluaran KWSP berikut:
  • Pengeluaran ini hanya untuk pembiayaan rumah PR1MA dan bayaran akan dikreditkan terus ke institusi kewangan. 
  • Jika baki di dalam Akaun 2 kurang daripada jumlah bayaran bulanan yang diminta, pihak KWSP akan membayar jumlah penuh di dalam Akaun 2 (tertakluk kepada bayaran minimum RM50). 
  • Kesemua pengeluaran sebelum persaraan di dalam Akaun 2 akan dihadang. 
  • Jika rumah anda dijual melalui prosiding halang tebus (foreclosure), hadangan ke atas simpanan Akaun 2 akan diteruskan melainkan mendapat arahan bertulis dari institusi kewangan.
  • Pihak KWSP tidak bertanggungjawab untuk bayaran lambat atau tiada bayaran disebabkan tiada caruman atau akaun dibekukan. 
  • Setelah mencapai usia 55 tahun dan anda layak untuk membuat Pengeluaran Persaraan, anda bertanggungjawab menyelesaikan pinjaman tertunggak dengan institusi kewangan bagi kediaman PR1MA anda. 
  • Hadangan akan dilepaskan setelah ahli mencapai usia 55 tahun membuat pengeluaran kesemua simpanan iaitu Pengeluaran Pekerja Berpencen, Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Kematian dan Pengeluaran Meninggalkan Negara atau mendapat arahan bertulis dari institusi kewangan. 

JUMLAH PENGELUARAN SIMPANAN KWSP

Untuk pengetahuan anda, jumlah pengeluaran simpanan KWSP untuk pembayaran rumah PR1MA adalah: 
  • Ditentukan oleh ahli KWSP
  • Tertakluk kepada perjanjian dengan institusi kewangan
  • Sebahagian atau semua simpanan Akaun 2 (minimum RM50)

CARA MEMOHON

Langkah 1

Langkah pertama yang anda perlu lakukan adalah mendaftar akaun di https://register.pr1ma.my/Account/Register dan memohon untuk rumah PR1MA di projek perumahan pilihan sendiri. 

Langkah 2

Setelah selesai melakukan permohonan, sila tunggu surat tawaran pembelian dan mohon pinjaman dari institut kewangan. 

Langkah 3

Hantar permohonan yang diluluskan untuk:
  • Hadangan Simpanan
  • Pengeluaran Perumahan PR1MA
  • Penstrukturan semula
  • Pembatalan Hadangan

Langkah 4

Institusi kewangan akan mengesahkan dan menghantar permohonan anda ke KWSP untuk pengeluaran

Langkah 5

Pihak KWSP akan memberitahu anda apabila pengeluaran telah diluluskan (melalui SMS / Mesej keselamatan i-akaun)

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan pengeluaran simpanan KWSP bagi tujuan mendapatkan rumah PR1MA anda boleh klik DI SINI

Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda semua. 

No comments:

Post a Comment