[TERKINI] : Pengeluaran i-Sinar Tidak Bersyarat, Hanya Sebagai Kriteria - KWSP - Salam Kerjaya!

Breaking

Monday, December 7, 2020

[TERKINI] : Pengeluaran i-Sinar Tidak Bersyarat, Hanya Sebagai Kriteria - KWSP



PENGELUARAN i-SINAR TIDAK BERSYARAT

KUALA LUMPUR : Pengeluaran i-Sinar tidak bersyarat dan apa yang diperincikan baru-baru ini hanyalah kriteria bagi memastikan permohonan selari dengan data sedia ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Dalam satu maklum balas yang telah dikeluarkan oleh pihak KWSP pada 5 Disember lalu menjelaskan bahawa ini adalah untuk membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat. 


"Proses pengesahan adalah diperlukan bagi mengelakkan penipuan dan pengeluaran i-Sinar secara tidak sah oleh pihak ketiga.


"Bagi ahli yang memenuhi semua kriteria, permohonannya akan diluluskan secara automatik. Permohonan ahli yang dibuat dalam talian hanya memerlukan pengesahan amaun maksimum sahaja dan tidak sukar ataupun susah," kata dana pencen tersebut.


Dia juga berkata bahawa oleh kerana setiap situasi ahli adalah unik, Kategori 2 memberikan ruang kepada pihak KWSP untuk mempertimbangkan segala situasi ahli berdasarkan dokumen sokongan yang boleh dipohon secara dalam talian sahaja. 


SITUASI NEGARA YANG BERBEZA

Berkenaan dengan mengapa pihak KWSP tidak memberi kelulusan secara automatik i-Sinar kepada mereka yang telah memohon i-Lestari, ia berkata bahawa situasi ketika KWSP melancarkan i-Lestari dan i-Sinar adalah sangat berbeza, negara berada dalam situasi yang berlainan pada ketika itu dan pada masa sekarang ini. 


"Bagaimanapun pihak KWSP amat memahami bahawa situasi ekonomi berbeza bagi ahli bergantung kepada sektor pekerjaan dan industri dan i-Sinar tersedia untuk membantu ahli-ahli tersebut," katanya.


Bagi mereka individu yang gusar tidak dapat memohon kerana tidak mengalami pengurangan gaji sebanyak 30%, pihak KWSP berkata masih ada ruang di Kategori 2 untuk mempertimbangkan permohonan bagi ahli yang terkesan.


"Sekiranya ahli mengalami pengurangan pendapatan atau gaji dan mempunyai dokumen sokongan sebagai bukti, ahli digalakkan untuk memohon pada 11 Januari 2021. Pihak KWSP akan mempertimbangkan permohonan tersebut.


"Ini untuk memastikan pintu tidak tertutup dan memberi peluang untuk seramai ahli yang mungkin untuk memohon i-Sinar, yang dianggarkan sehingga 8 juta pemohon," katanya.


PENGELUARAN BERPERINGKAT SELAMA ENAM BULAN

Seterusnya, bagi pengeluaran berperingkat untuk tempoh enam bulan yang dinyatakan, KWSP menjelaskan bahawa ia adalah bagi memastikan ahli dibantu untuk tempoh selama yang mungkin dan memahami bahawa bulan pertama adalah penting untuk ahli membayar tanggungan dan perbelanjaan awal tahun seperti persekolahan anak dan lain-lain.


"Oleh yang demikian, pendekatan secara berperingkat adalah berdasarkan kepada beberapa pertimbangan iaitu data semasa tanggungan ahli KWSP, perlunya memanjangkan tempoh bantuan kerana ketidaktentuan tempoh penularan wabak pandemik Covid-19; dan mengimbangi aliran tunai dan struktur pelaburan sedia ada KWSP," katanya lagi.


Untuk permohonan Kategori 1 pula, KWSP telah mempercepatkan proses permohonan melalui kelulusan automatik menggunakan data dalaman di mana dianggarkan ahli akan menerima pembayaran pertama pada pertengahan bulan Januari 2021.


"Bagi mereka dalam Kategori 2, pihak KWSP menganggarkan masa pemprosesan antara 2 hingga 3 minggu daripada tarikh permohonan, untuk membolehkan pengesahan dokumen dan pertimbangan kes demi kes. Dianggarkan ahli yang bakal menerima pembayaran pertama adalah pada akhir bulan Februari," katanya.


Pihak KWSP juga turut menyeru agar ahli yang memohon untuk memastikan i-Akaun mereka aktif, nombor telefon telah dikemaskini bagi tujuan menerima nombor TAC dan nombor akaun anda hendaklah aktif.



SUMBER : BERNAMA 

1 comment:

  1. Bagaimana Pula bagi orang yang bekerja Dalam sektor keselamatan contohnya Pengawal keselamatan,pegawai operasi,pihak berkuasa tempatan Dan sebagainya berkaitan dengan keselamatan?,adakah boleh diberikan I SINAR ???

    ReplyDelete