RM10K i-Sinar : KWSP Akan Mempertimbangkan Setiap Permohonan i-Sinar Di Bawah Kategori Dua



KUALA LUMPUR : Menurut Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias yang juga merupakan ketua pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pihak KWSP akan mempertimbangkan setiap permohonan kemudahan i-Sinar di bawah kategori kedua.


Beliau berkata bahawa ahli-ahli yang terjejas daripada segi kewangan tidak kira sama ada pendapatan kecil ataupun besar tetapi tidak layak untuk melakukan permohonan untuk i-Sinar di bawah kategori pertama, boleh memohon untuk kemudahan tersebut di kategori kedua.


"Pihak KWSP sedar akan situasi individu yang terjejas pendapatannya adalah unik bagi setiap kes dan tidak ada satu penyelesaian yang menyeluruh.


"Bagi kategori kedua, kita menyarankan kepada ahli kita untuk siapkan dokumen yang boleh menunjukkan impak atau kesan terjejas pendapatan mereka dan hantar kepada KWSP pada 11 Januari 2020," kata beliau pada program 'i-Sinar dialog bersama KWSP' di Astro Awani semalam. 


KWSP AKAN PERTIMBANGKAN SETIAP PERMOHONAN

Selain itu, Tunku Alizakri turut menegaskan bahawa KWSP akan melakukan pertimbangan kepada setiap permohonan bagi memastikan pintu pertolongan tidak tertutup kepada sesiapa.


Pada 02 Disember lalu, pihak KWSP telah mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan i-Sinar dibahagikan kepada dua kategori.


Untuk kategori pertama, ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut ketika permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020. 


Bagi kategori ini, tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan daripada data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon melalui secara dalam talian sahaja di isinar.kwsp.gov.my bermula pada 21 Disember 2020 ini.


Manakala bagi kategori kedua pula, pihak KWSP berkata bahawa ia adalah untuk ahli KWSP yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.


Sumber : Berita Harian

Post a Comment

0 Comments