[RASMI] : Permohonan KWSP i-Sinar Dibuka Bermula 21 Disember 2020 ~ Ini Perkara Yang Perlu Anda Ketahui



Untuk makluman, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kemudahan i-Sinar yang kini dibuka kepada semua ahli KWSP yang mengalami pendapatan terjejas akibat daripada penularan wabak Covid-19 dengan permohonan secara dalam talian akan mula dibuka bermula pada 21 Disember 2020.


Pengurus dana persaraan tersebut berkata, kriteria kelayakan bagi Kategori 1 yang melibatkan kepada ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, mereka yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah ataupun mereka yang diberikan notis cuti tanpa gaji.


INFO KATEGORI 1 


Menurutnya lagi, kriteria bagi Kategori 1 tersebut adalah untuk ahli yang tidak mempunyai caruman dengan pihak KWSP sekurang-kurangnya selama tempoh 2 bulan berturut-turut semasa melakukan permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan keatas selepas 1 Mac 2020.


"Bagi kategori ini, tiada sebarang dokumen sokongan yang diperlukan. Kelulusan secara automatik berdasarkan daripada data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui laman sesawang isinar.kwsp.gov.my bermula pada 21 Disember 2020.


"Pembayaran i-Sinar bagi ahli yang layak akan bermula daripada pertengahan Januari 2021," katanya dalam satu kenyataan.


INFO KATEGORI 2


Selain itu, pihak KWSP turut berkata bahawa untuk kategori 2 pula ianya adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuklah pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020 yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.


"Bagi melancarkan proses pengesahan, pihak KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.


"Jika dokumen tidak dapat untuk dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain juga seperti penyata bank ataupun surat pengesahan majikan akan diberikan pertimbangan. Untuk kategori ini pula, ahli atau para pencarum boleh memohon secara dalam talian melalui laman isinar.kwsp.gov.my bermula pada 11 Januari 2021," katanya.


STATUS PERMOHONAN


Bagi status permohonan, untuk memastikan permohonan yang dilakukan bakal dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada para pencarum dan ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dilakukan.


Menurutnya lagi, pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya selepas kelulusan diberikan.


Berkaitan dengan jumlah kelayakan i-Sinar, pihak KWSP berkata bahawa ianya tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh melakukan pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.


PEMBAYARAN SECARA BERPERINGKAT


Tambahnya lagi, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.


Seterusnya, bagi ahli yang mempunyai baki simpanan melebihi RM100,000 dalam Akaun 1 KWSP, pengurus dana persaraan tersebut berkata bahawa mereka boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.


Menurutnya, pembayaran bakal dilakukan secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama berjumlah sehingga RM10,000.


DAFTAR i-AKAUN 


Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, para pencarum ataupun ahli adalah digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemaskini nombor telefon bimbit untuk menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di kiosk dan kaunter KWSP yang berhampiran dengan kawasan anda dan sila pastikan bahawa nombor akaun bank bank mereka adalah aktif.


Sumber : bharian.com

Post a Comment

1 Comments

  1. Kenapa sya dah isi borang i sinar xboleh..identiti tidak sah..sdngkn akaun 2 ok ja..

    ReplyDelete