[RASMI] : Mohon Bantuan JKM Kanak-Kanak, Terima RM200 Sebulan Untuk Setiap Anak




Bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik termasuklah golongan B40, pelbagai bantuan telah pun diberikan oleh pihak kerajaan lebih-lebih lagi dalam tempoh penularan wabak pandemik Covid-19 ini yang sangat memberikan cabaran kepada semua lapisan masyarakat.

Untuk pengetahuan anda, perkhidmatan bantuan kewangan yang disediakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disediakan kepada kumpulan sasar bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik dan sempurna.

Salah satu daripada bantuan JKM yang diberikan adalah Bantuan Kanak-Kanak Keluarga Miskin. Dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu pihak kerajaan telah memutuskan untuk menaikkan kadar bantuan untuk kategori ini. Ikuti perkongsian daripada pasukan Salam Kerjaya di bawah ini untuk ketahui maklumat lebih lanjut berkenaan dengan permohonan Bantuan JKM untuk Kanak-Kanak Keluarga Miskin ini.

KADAR BANTUAN JKM KANAK-KANAK TERKINI

Seperti yang kita semua ketahui di dalam Belanjawan 2021, kadar bantuan JKM akan dinaikkan termasuklah Bantuan Kanak-Kanak keluarga JKM bermula pada tahun 2021. Kadar bantuan kanak-kanak JKM akan dinaikkan seperti berikut:

Kadar Bantuan Kanak-Kanak JKM Lama
  • RM100 bagi setiap anak
  • Maksimum RM450 jika anak melebihi 4 orang

Kadar Bantuan Kanak-Kanak JKM Mulai 2021
  • Kanak-kanak berumur 7 tahun sehingga 18 tahun akan mendapat RM150 sebulan seorang.
  • Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah akan mendapat RM200 sebulan seorang.
  • Maksimum RM1,000 setiap keluarga setiap bulan.

SYARAT KELAYAKAN BANTUAN JKM KANAK-KANAK

Berikut adalah merupakan syarat kelayakan untuk menerima bantuan JKM Kanak-Kanak yang telah ditetapkan:
  • Warganegara Malaysia
  • Keluarga / Penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa;
  • Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dan yang berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas ATAU 
  • Mana-mana kes berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM).

CARA MEMOHON BANTUAN JKM KANAK-KANAK

Berikut adalah merupakan cara untuk melakukan permohonan bantuan JKM Kanak-Kanak. Anda boleh melakukan permohonan secara online ataupun secara manual.

Permohonan Secara Online
  1. Pergi ke laman eBantuan JKM
  2. Klik DAFTAR PERMOHONAN ATAS TALIAN
  3. Klik DAFTAR PERMOHONAN
  4. Pilih NEGERI dan NOMBOR KAD PENGENALAN pemohon
  5. Klik DAFTAR
  6. Sila isikan MAKLUMAT PENDAPATAN seperti yang diminta
  7. Sila isikan MAKLUMAT KEPERLUAN BULANAN
  8. Klik KEPUTUSAN 

Setelah anda selesai melakukan pengisian permohonan secara online, sila cetak borang permohonan tersebut dan hadirkan diri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat mengikut daerah mana yang dipohon dalam tempoh 14 hari dari permohonan dibuat secara atas talian. Kegagalan anda berbuat demikian memungkinkan sistem akan membatalkan permohonan anda secara automatik. 

Permohonan Secara Manual

Bagi permohonan secara manual pula, anda boleh terus hadirkan diri di mana-mana Pejabat JKM Daerah / Bahagian di seluruh negara di kawasan yang berhampiran dengan anda. Sila rujuk senarai pejabat JKM Negeri dan Cawangan DI SINI.

Sila bawa bersama borang permohonan yang telah lengkap diisi berikut ke pejabat JKM:
DOKUMEN SOKONGAN

Bagi memudahkan segala urusan pentadbiran, pemohon boleh membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat berdekatan.
  • Salinan MyKad / Kad Pengenalan Pemohon
  • Salinan MyKad / Kad Pengenalan Ahli Keluarga yang tinggal bersama
  • Salinan Kad OKU / Slip Pendaftaran Sementara OKU (jika kategori OKU)
  • Salinan penyata pendapatan / surat akuan pendapatan (jika bekerja sendiri)
  • Salah satu bil utiliti (air/elektrik/telefon/astro)
  • Laporan pegawai perubatan dari hospital/klinik kesihatan kerajaan/swasta (bagi kes OKU tidak bekerja/terlantar/kronik/alat tiruan)

Sekiranya pemohon menghadapi kesukaran untuk hadir ke pejabat, permohonan boleh dibuat melalui surat, telefon atau email. Untuk pertanyaan lebih lanjut, anda boleh terus hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat di talian 03-8000 8000 atau buat maklum balas melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam.

Semoga bermanfaat!

Post a Comment

0 Comments