Bank Dunia Cadangkan Malaysia Tingkatkan Usia Persaraan Kepada 65 Tahun, Adakah Anda Setuju?



Negara Malaysia perlu meneliti semula dasar had usia untuk persaraan berikutan statusnya sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berusia ataupun menua.


Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malayia iaitu Firas Raad berkata bahawa aspek demografi yang dimiliki Malaysia telah berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini. 


"Negara Malaysia telah melangkaui pencapaian bermakna dalam trajektori pembangunannya tahun ini dan negara masyarakat menua berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa iaitu tujuh peratus atau lebih penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas," katanya.


RAKYAT PERLU BEKERJA DENGAN TEMPOH LEBIH LAMA

Firas Raad juga turut menekankan kemampuan mencecah usia lebih lanjut sedemikian juga bermaksud bahawa rakyat di negara ini perlu bekerja dengan tempoh yang lebih lama. 


Jika hendak dibandingkan dengan negara yang berpendapatan tinggi dan pertengahan tinggi pada masa ini, Firas Raad berkata bahawa kadar pekerjaan individu yang berusia 55 tahun hingga 64 tahun di negara ini adalah rendah khususnya dalam kalangan wanita.


Sebagai perbandingan, seperti negara Korea Selatan, Jepun dan juga Thailand menyaksikan lebih 65 peratus rakyat yang berusia 55 hingga 64 tahun masih lagi aktif dalam pasaran tenaga kerja mereka.


"Walaubagaimanapun, di Malaysia golongan tersebut hanyalah 45% sahaja," katanya lagi.


TINGKATKAN HAD USIA PERSARAAN KEPADA 65 TAHUN

Oleh yang demikian, antara pilihan dasar berkenaan adalah dengan meningkatkan had minimum usia persaraan secara beransur-ansur yang mana daripada 60 tahun kepada 65 tahun dan seterusnya dikaitkan dengan unjuran jangka hayat selepas itu.


Firas Raad menyifatkan bahawa dasar sedemikian diperlukan bagi menggalakkan pekerjaan produktif dan inklusif untuk semua pekerja termasuklah golongan yang berusia menerusi pekerjaan kurang memerlukan fizikal serta persekitaran tempat kerja yang dilengkapi dengan pengupayaan secara digital.


"Pilihan dasar pertama adalah menyediakan peluang dengan peningkatan aspek latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang mengambil kira kepada keadaan khusus golongan pekerja berusia lebih tua.


"Hal ini pada akhirnya akan dapat mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk pekerjaan produktif dan fleksibel untuk pekerja terbabit selain mempermudah pekerjaan secara separuh masa atau lain yang anjal," katanya.


MENEKANKAN KEPENTINGAN KEKANGAN WANITA 

Pada masa yang sama juga, Firas Raad turut memberikan penekanan kepada kepentingan untuk menangani isu atau kekangan yang dihadapi wanita berkaitan dengan kerja.


Menurut Firas Raas, inisiatif relevan tersebut termasuklah penyediaan kemudahan penjagaan anak yang berkualiti dan berpatutan; pembaharuan persekitaran perundangan berkaitan; menambah baik sokongan untuk ibu bapa sejajar dengan norma perundangan antarabangsa serta dasar menangani aspek jantina dan sikap.


"Pada akhirnya nanti, gabungan dasar tepat ini akan dapat membantu negara Malaysia menangani masyarakat yang semakin menua, mempertingkatkan kesejahteraan semua dan meningkatkan perkongsian bahawa pengalaman mengharungi hari tua bukanlah bebanan tetapi fasa kehidupan yang penuh dengan kebebasan, penyertaan sosial dan produktivitinya," katanya.


Sumber : Berita Harian

Post a Comment

0 Comments