[RASMI] Automatik Tak Perlu Bayar Loan selama 6 Bulan Bermula April 2020 -BNM





KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka, termasuk gadai janji dan sewa beli, untuk tempoh enam bulan.

Ia langkah tambahan BNM untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang dijangka terkesan oleh penularan COVID-19.

Dalam satu surat kepada pengurusan kanan institusi kewangan yang dilihat oleh BH hari ini, BNM berkata moratorium automatik itu akan berkuat kuasa mulai 1 April ini.

“Institusi perbankan perlu menyediakan individu dan peminjam PKS dengan maklumat yang mencukupi mengenai bagaimana pembayaran pinjaman dan pembiayaan yang ditangguhkan akan dilaksanakan dalam tempoh itu," kata bank pusat itu.

Bagi baki kad kredit yang belum dijelaskan, BNM berkata pelanggan perlu ditawarkan pilihan untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman jangka masa tidak melebihi tiga tahun.

“Bagi peminjam korporat, institusi perbankan sangat digalakkan untuk memudahkan permintaan moratorium," katanya.




Sumber - BeritaHarian






KEMASKINI 25 MAC 2020


COVID-19: BNM umum penangguhan bayaran pinjaman sehingga enam bulan

KUALA LUMPUR: Pelanggan bank, termasuk pelanggan persendirian dan perniagaan kecil dan sederhana akan dibenarkan menangguh pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka untuk enam bulan.

Penangguhan ini bersifat automatik dan terpakai kepada semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta.

Namun, hutang kad kredit tidak akan termasuk dalam penangguhan, kata Bank Negara Malaysia (BNM) menurut dokumen yang diserahkan kepada bank-bank di Malaysia.

"Bagi hutang kad kredit yang tidak tertunggak, bank akan menawarkan pelan pembayaran secara berperingkat selama tiga tahun.

"Bagi hutang kad kredit yang tertunggak, hutang akan ditukarkan secara automatik kepada pinjaman berjadual," katanya.

Menurut BNM, usaha ini adalah untuk memastikan peminjam yang terkesan susulan penularan COVID-19 akan dapat dibantu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan BNM pada Selasa dan akan berkuat kuasa bermula 1 April.

Ia akan terpakai kepada pinjaman dalam Ringgit Malaysia (RM) dan bagi hutang yang tidak tertangguh melebihi 90 hari pada 1 April.

Menurut BNM, maklumat penuh akan disampaikan bank masing masing.

Untuk maklumat lanjut, pengguna dinasihatkan merujuk kepada bank masing-masing.

Sumber - Astro Awani

Post a Comment

1 Comments