Semakan Online
TERKINI : Tarikh Pembayaran Bantuan Tunai Rakyat (BTR) RM300 Untuk Setiap Isi Rumah!
Kuala Lumpur: Kerajaan akan meneruskan Bantuan Tunai Rakyat (BTR) yang dilaksana kerajaan terdahulu dengan Fasa 1 disalur bulan depan (Januari 2023).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM2 bilion.
Menurutnya, setiap isi rumah akan menerima RM300, manakala kategori bujang RM100.
“Bantuan tunai rakyat yang dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan (dengan) bayaran fasa satu disalurkan awal iaitu Januari 2023, tidak Mac seperti diumumkan sebelum ini.
“Saya mengambil pertimbangan untuk menyegerakan kerana masalah pekebun kecil getah dan petani, nelayan terutama (di) Terengganu (dan) Kelantan yang terpaksa menanggung kesempitan akibat banjir,” katanya pada pembentangan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Di samping itu, Kerajaan Perpaduan Malaysia akan membentangkan semula Bajet 2023 yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi pada Februari depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet itu akan dibentangkan sendiri olehnya nanti.
“Seiring dalam usaha menangani cabaran kos sara hidup yang kian meningkat, kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar bagi melindungi rakyat susah serta pengusaha kecil dengan mengurangkan ketirisan subsidi kepada golongan mahakaya dan syarikat gergasi yang meraih keuntungan yang banyak.
“Sistem perlindungan sosial juga akan diperkukuh bagi melindungi golongan rentan dan mudah terjejas, termasuk golongan pekerja informal,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.
SUMBER : HMetro
Post a Comment
0 Comments