PKP : Kebenaran Keluar Berdua Satu Kenderaan Telah Diwarta



KUALA LUMPUR: Kebenaran pergerakan dua orang satu kenderaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat bermula hari ini, boleh melebihi 10 kilometer (km) jika membabitkan keperluan membeli makanan dan perkhidmatan kesihatan.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelonggaran itu bagaimanapun terhad kepada mereka yang tinggal di rumah yang sama dan daripada keluarga terdekat.
"Kebenaran pergerakan melebihi radius 10 km itu sudah diwartakan melalui PKP keempat," katanya pada sidang media harian selepas mesyuarat menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.


Kebenaran itu diberikan kerajaan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.
Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, berkuat kuasa hari ini hingga 12 Mei depan.


Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.
Ismail Sabri menegaskan, pergerakan melebihi 10 km itu bagaimanapun mesti yang terhampir bagi tujuan dibenarkan.
"Contohnya nak ke klinik, jika ada yang jarak 15 km harus pergi ke situ, jangan pula pergi yang jaraknya 30 km," katanya





Post a Comment

0 Comments